|
Alhamdulillah segala puji bagi Allah, selawat dan salam buat junjungan mulia Rasulullah, ahli keluarga dan para sahabat serta seluruh pengikut yang beragama Islam. Firman Allah SWT yang bermaksud:" Sesungguhnya kami yang menurunkan al Quran di dalam bahasa arab semoga kamu memahaminya". ayat 2 surah yusuf Baru-baru ini Dewan Ulama' PAS negeri Johor telah menganjurkan satu program Perdana selamatkan Sek. Men. Agama Arab Negeri Johor. Himpunan tersebut diadakan di surau Maahad Al Muhammadi Kg. Medan Kundang Hulu, Pagoh ,Muar. Selain dari solat hajat,pada malam tersebut juga diadakan satu majlis ceramah umum untuk memberikan penerangan tentang nisu kerajaan negeri Johor yang akan menyerahkan sepenuhnya sekolah-sekolah menengah Agama( Arab) kepada kerajaan pusat melalui Kementerian Pelajaran Malaysia. Saya masih ingat lagi pada peringkat awal , pesuruhjaya PAS negeri Johor Dato' Dr Mahfuz bin Muhammad mengatakan kepada saya" ustaz, kalau orang ramai datang tidak ramai, maka kita buat program ceramah umum ini di surau sahaja,tetapi sekiranya ramai kita buat diluar sana (diperkarangan markaz Pagoh), demikianlah kebimbangan Dato' Mahfuz begitu juga saya yang bimbang kalau-kalau program ini tidak mendapat sambutan lebih-lebih lagi ramai ahli-ahli dan Pemimpin PAS berada di Kuala Terengganu bagi memastikan kemenangan YB Haji Abdul Wahid Endut dalam pilihanraya kecil Kuala Terengganu, dan ditambah lagi dengan program Demonstrasi di sana sini, berkaitan dengan isu pembunuhan dan kezaliman terhadap Umat Islam di Gaza Palestin oleh rejim Yahudi,Israel yang ganas dan biadap itu. Namun Alhamdulillah ternyata ahli-ahli dan penyokong PAS telah datang beramai-ramai dari jauh dan dekat untuk menyertai himpunan yang sangat penting itu. Bersyukur kepada Allah SWT yang memberikan taufik dan Hidayah sehingga dengan izinnya program tersebut mendapat sambutan di luar dugaan. Demikianlah luasnya bidang kerja perjuangan Islam. Ahli-ahli PAS faham bahawa perlu menangani hampir semua perkara yang besar dan tidak boleh hanya menumpukan satu dua perkara sahaja lalu mengabaikan perkara-perkara yang lain. Firman Alla SWT yang bermaksud:" Wahai orang-orang yang beriman masuklah kamu ke dalam ajaran Islam keseluruhannya dan janganlah kmu mengikut jejak langkah syaitan.Sesungguhnya syaitan itu adalah musuh Allah yang nyata bagi kamu". Ayat 208 surah al Baqarah. Alhamdulillah oleh kerana mendapat sambutan yang baik serta kehadiran yang begitu memberangsangkan maka ceramah tersebut diadakan di perkarangan Markas PAS kawasan Pagoh. Diantara penceramah yang turut mengisi program tersebut terdiri daripada Dato' Dr Mahfuz sendiri selaku pesuruhjaya PAS negeri Johor,saudara Mazlan Aliman ketua penerangan badan perhubungan PAS negeri Johor,Ustaz Atan bin Haji Gombang,timbalan pesuruhjaya PAS negeri Johor yang diamanahkan sebagai pengerusi jawatankuasa bertindak menangani isu Sek.Men. Agama (Arab) Johor dan saya sendiri turut menyampaikan ucapan yang ringkas. Pengerusi majlis pada malam tersebut ialah saudara Said Khudri yang juga merupakan naib yang dipertua PAS kawasan Pagoh. Ustaz Atan bin Haji Gombang yang dilantik sebagai pengerusi jawatankuasa bertindak menangani isu Sek. Men. Agama (Arab) negeri johor telah menjelaskan dengan terang akan perkara-perkara yang berkaitan dgan isu tersebut diantara lain PAS dan semua pencinta pendidikan Islam merasa cemas dan bimbang terhadap masa depan sekolah-sekolah Men. Agama yang menjadikan bahasa arab sebagai bahasa pengantarnya . Setakat ini tidak ada jaminan terhadap kekalnya bahasa arab di sekolah-sekolah tersebut apabila kementerian Pelajaran mengambil alih sepenuhnya. Umat Islam negeri Johor sebelum ini pernah menyaksikan apa yang berlaku terhadap Maahad Muar satu ketika duhulu apabila diambil oleh Kementerian Pelajaran.Maahad tersebut yang terletak di Jalan Joned Muar pada asalnya setanding dengan Maahad Johor sehingga melayakkan pelajar-pelajarnya menyambung pengajian ke Universiti Al Azhar, Mesir. Semua mata palajaran agama berbahasa arab pada ketika itu. Kemudian setelah diambil alih oleh Kerajaan Pusat maka akhirnya bahasa arab hanya tinggal satu mata pelajaran sahaja yang dikenali sebagai bahasa arab Komunikasi.Itulah perkara yang paling dibimbangi akan berlaku terhadap 19 buah Sek. Men. Agama (Arab) yang hendak diserahkan oleh kerajaan Negeri Johor kepada Kerajaan Pusat yang sama-sama dipimpin oleh UMNO Barisan Nasional. Apa yang melucukan pula ialah alasan penyerahan tersebut ialah kerana Kerajaan Negeri Johor tiada duit untuk membiayai penyelenggaraan Sek.Men.Agama (Arab) Johor. Maka jalan yang terbaik mengikut pendapat Menteri Besar dan EXCO agama ialah dengan menyerahkan segala tanggungjawab kepada Kerajaan Pusat,dengan kata lain mereka berlepas tangan atau cuci tangan . Demikianlah betapa tidak bertanggungjawabnya pemimpin UMNO dan barisan nasional terhadap pendidikan Islam di negeri Johor. Mereka sanggup membelanjakan berbilion-bilion ringgit untuk berbagai-bagai program dan projek pembangunan Iskandar Johor yang dulunya disebut sebagai wilayah pembangunan Iskandar yang belum tahu berapa peratuskah kebaikannya terhadap umat Islam. Walau bagaimanapun untuk program agama termasuk pendidikan agama mereka merasakan amat rugi untuk mengeluarkan peruntukan yang sepatutnya. Inilah dia cara pemikiran orang yang menganut faham sekular yang memisahkan diantara agama dan politik atau memisahkan agama dari pemerintahan . Walaupun pemimpin UMNO mengaku dirinya sebagai orang Islam dan beriman namun dengan sikap dan pendirian seperti itu menunjukkan mereka lupa betapa pentingnya umat Islam memahami ajaran Islam dengan mendalam sebagai langkah untuk mewujudkan masyarakat yang harmoni .Mereka juga lupa bahawa bahasa arab itu adalah bahasa Al Quran dan bahasa Syurga. Mereka sepatutnya insaf dan sedar bahawa sebarang tindak tanduk yang dilakukan untuk menghakis penggunaan dan penguasaan bahasa arab adalah merupakan agenda yahudi dan nasrani untuk melemahkan Islam.Sepatutnya Umat Islam terutamanya pemimpin-pemimpin mereka mestilah berusaha dari masa ke semasa mempertingkatkan dan mengembangkan bahasa arab di dalam masyarakat dan agama. Penghakisan bahasa arab dan pendidikan Islam adalah penghakisan terhadap Islam itu sendiri, kerana ia akan menjauhkan umat Islam dari sumber atau panduan utama yang menjadikan asas kepada ilmu Islam iaitu kitab suci Al Quran ,Hadith-hadith Nabi SAW dan kitab yang mu'tabar yang semuanya adalah dalam bahasa arab. Sebagai kesimpulannya, kita mengajak umat Islam untuk bangkit mempertahankan muqarar atau sukatan pelajaran Al Azhar (Universiti Al Azhar Mesir) di Sekolah-sekolah Men. Agama (Arab) Johor. Parti Islam Semalaysia (PAS),Insyaallah terus memantau perkembangan ini dan mengajak umat Islam supaya peka atau sensitif terhadap isu ini, dan isu-isu lain yang dilihat mengancam kepentingan ilmu Islam itu sendiri. Marilah kita berdoa semoga Allah memberi pertolongan dan perlindungan kepada kita,dalam menjayakan segala usaha yang murni ini dengan langkah-langkah yang bijak bagi mengatasi permasalahan ini . Wallahua'lam, Allahu Akbar 3x . Wabillahittaufik walhidayah, wassalamua'laikum warahmatullahi wabarakatuh Disediakan oleh, Abdullah Husin Ketua Dewan Ulama PAS Negeri Johor.
|